Friday, 7 October 2011

Aplikasi teknologi maklumat (IT) masa kini


Agenda utama di sebalik internet ialah rangakian komputer dan kandungan maklumat. Ia juga boleh digambarkan sebagai sebuah masyarakat berorientasikan manusia, di mana ia membenarkan berjuta-juta orang di seluruh dunia berkomunikasi dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan. Internet bukan sahaja ditekankan kepada rangkaian komputer, malah ianya juga adalah kandungan maklumat yang terlalu banyak di dalamnya.

Angkasa siber atau dunia siber nama lain untuk internet, boleh diklasifikasikan sebagai “sebuah rangkaian yang membolehkan berjuta-juta penduduk bumi berkomunikasi dengan hanya menggunakan komputer”. Malah komunikasi ini boleh melibatkan pertukaran data dan maklumat yang disimpan dalam berjuta-juta komputer di seluruh pelosok dunia. Segala data dan maklumat tersebut boleh diperoleh secara mudah dengan hanya menggunakan wayar telefon dan modem. Hanya dengan menggerak-gerakkan jari jemari di papan kekunci, apa-apa jua bahan-bahan yang diingini boleh diperoleh. Dari resipi hinggalah kepada kesihatan, dari bencana alam maklumat tempatan hinggalah luar negeri. Segala maklumat sedia menunggu dan dapat memuaskan naluri pengguna.


Rangkaian siber ini juga boleh dikatakan sebagai forum global dan perpustakaan global yang pertama. Sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian, pada sebarang masa, dari mana sahaja, internet tidak pernah ditutup. Tanpa mengira warna kulit, budaya yang diamalkan, agama yang dianuti, kecil besar, tua muda, semuanya boleh menggunakan internet. Lebuh raya maklumat internet merentasi semua sempadan budaya dan geografi, serta meruntuhkan semua hierarki yang ada.


Kedudukan terkini bursa saham seluruh dunia, kadar pertukaran wang asing, misteri cakerawala, penemuan baru dalam bidang perubatan, skandal pemimpin dunia, El-Nino, La-Nina, hidupan liar, cacing kerawit, madah pujangga dunia, malah apa-apa sahaja perkara yang ingin diketahui, boleh diselongkar dalam jaringan internet.


Semua bidang elektronik dan aplikasi tersebut boleh dirangkumi kepada suatu istilah, iaitu ekonomi digital. Maksudnya, bidang penggunaan tersebut merupakan unsur-unsur yang boleh didapati apabila ekonomi digital dilaksanakan sepenuhnya pada abad ke-21. Walaupun demikian, sudah banyak pihak telah menceburi penggunaan teknologi ini, termasuk Malaysia yang sudah berada dalam fasa perancangan dan mencari sumber kepakaran bagi mengendalikan semua yang dirancangkan. Perdagangan secara elektronik (E-Dagang) dengan menggunakan infrastruktur teknologi maklumat mampu menyelesaikan permasalahan seperti waktu perniagaan yang terhad, lokasi perniagaan yang jauh, iklan yang tidak berkesan di samping menyediakan beberapa kelebihan berbanding cara perniagaan. Dengan menggunakan wahana Internet sebagai perantaraannya, e-dagang muncul sebagai alternatif yang semakin mendapat perhatian pembeli dan penjual barangan baik untuk perdagangan di antara pengguna dan peniaga atau di antara sesama peniaga. Pengguna boleh memesan barang yang dikehendakinya dan membayarnya menggunakan kad kredit melalui sistem rangkaian komputer atau internet. Sebagai medium maklumat, hiburan, komunikasi, dan perdagangan, internet sudah pasti menjadi agenda penting semua pihak, mulai daripada pemimpin kerajaan, ahli agama, pemimpin korporat, sehinggalah rakyat keseluruhannya.


Dalam arus perkembangan dan kemajuan era teknologi maklumat, dunia buku dan budaya membaca kian terpinggir. Masyarakat hari ini mempunyai cara mudah selain membaca buku untuk mendapatkan maklumat. Umpamanya melalui internet, e-mel, CD-rom, dan sebagainya. Perkembangan ini juga menukar budaya membaca di perpustakaan dengan tersedianya kemudahan computer dan internet. Pengunjung perpustakaan lebih berminat untuk “berkomunikasi” dengan komputer melalui internet berbanding dengan mencari buku-buku sebagaimana sebelumnya. Lebih menyedihkan lagi, pengiktirafan pihak berwewenang dengan mewartakan “bulan membaca” seakan-akan tidak diterimapakai lagi oleh masyarakat hari ini, khususnya golongan belia dan remaja. Perubahan sikap dan kesan kemajuan system maklumat memaksa pihak tertentu menyeru dan berkempen untuk menarik masyarakat supaya mencintai dan menjadikan budaya membaca sebagai amalan harian.

Dalam zaman perubahan, pengusaha industri buku “terpaksa” memikirkan semula cara mereka menghasilkan buku dan menjualnya. Perubahan ini mungkin memaksa penerbit-penerbit buku memindahkan kandungan buku dalam bentuk CD dan CD-Rom. Sudah pasti bentuk tersebut lebih mendapat perhatian masyarakat pencari maklumat berbanding dengan buku-buku yang dicetak di atas kertas.


Sesungguhnya, masyarakat hari ini berada dalam zaman peralihan. Peralihan dalam cara menerima dan menyebarkan maklumat. Maklumat yang sekian disebarkan dan digarap secara bercetak dalam bentuk buku kini mula diambil alih oleh peranan internet dan peralatan teknologi elektronik yang canggih.

Persoalan mungkin timbul, mampukah kemajuan teknologi maklumat dan cara penyebaran maklumat bentuk baru ini mengubah, membentuk, dan membudayakan masyarakat yang sebenarnya tidak berminat membaca menjadi pengguna kemudahan IT yang akrab? Kalau budaya mendapatkan maklumat dan pengetahuan dengan penggunaan IT meresap jiwa setiap lapisan masyarakat Malaysia, masyarakat Malaysia pasti akan menjadi bangsa yang termaju di dunia. Pendek kata, jika digunakan secara bijaksana, internet sebagai penyalur maklumat utama, sememangnya amat bermanfaat untuk memperkaya dan menjajah perkembangan minda.

0 comments:

Post a Comment

 

.....saranghae.....(^_^). Design By: SkinCorner